Pandangan terasa gelap. Dia
merasakan kepalanya berdengung. Berat. Bebola matanya bergerak - gerak di bawah
kelopak mata. Dahinya berkerut-kerut. Nafasnya makin dalam. Dadanya turun naik
dengan laju. Perlahan-lahan kedua-dua matanya berkelip. Cahaya lampu
pendarflour yang berada di siling samar-samar menyapa. Pandangannya kabur. Cuba
dikelip berkali-kali matanya itu namun masih lagi terasa berbinar.
'Aku di mana?' Hati kecilnya
berbisik.
Lidahnya terasa pahit. Bibirnya
yang kering tidak mampu mengucapkan sepatah kata. Dia cuba mengingat kembali
apa yang telah berlaku. Peristiwa semalam merangkak ke dalam kotak memori.
Tangan kanan diangkat ke langit, menghalang gelombang cahaya yang mampu
membutakan mata. Dilihat wayar berselirat, branula yang kemas
dipasang pada belakang tapak tangan terasa pedih.
'Ahhh, aku berada di hospital
rupanya,'
Dadanya kemudian berombak perlahan.
Terasa degup jantungnya makin perlahan, mulai mencapai rentaknya. Nafasnya
beralun seperti biasa. Dia makin tenang berbanding tadi.
Seorang doktor yang bertugas shift
malam menghampiri. Mata sepet disebalik bingkai berwarna merah gelap dilarikan
pada BHT di tangan, kemudian beralih ke arahnya. Tangannya
laju mencatat butiran - butiran yang diingini.
"Macamana Encik Khairul?"
Tangannya meletakkan BHT diatas meja.
Kai senyum kelat. Bibirnya terasa
merekah. Dehydrated.
"I tengok you punya tekanan darah
berada di bawah paras normal. Tapi mungkin you akan rasa pening-pening
lagi" Dia senyum. Mesra.
Kai menoleh ke kiri. Kelihatan buah
epal dan oren berada di dalam plastik biru, masih kemas diatas meja. Suara
doktor yang bermain di telinga diabaikan. Semak di kepala makin bertambah. Ada
yang datang jenguk aku ke? Siapa? Soalan itu sepi tanpa jawapan.
Dia mengalihkan pandangan kearah wajah
doktor itu.
"ABG reading I berapa doc?"
nadanya segaris.
Kelihatan doktor berbangsa cina itu
agak terkejut dengan persoalannya. Dia mengambil BHT yang ditinggalkan diatas
meja tadi.
" 8.35 pH, PCO2 6.0 kPa, HCO3
᷇ 35 mmol/L " Ujarnya secara terperinci. Dia memandang wajah Kai, cuba untuk
membaca apa yang berada di difikiran pesakit tersebut.
Dahi Kai berkerut - kerut. "Ahhh…
Uncompensated metabolic alkalosis."
"You doktor ke?"
soalnya. Mukanya agak sedikit kaget.
"Belum lagi..." perlahan.
Mukanya dirasakan begitu panas. Malu. Mana mungkin seorang yang berada di dalam
bidang ini melakukan perkara yang tidak sepatutnya pada diri sendiri?
Tercemarlah namanya, nama rakan-rakan yang seantara dengannya.
"You nak buat mental check ke?"
Doktor itu mengangguk.
* * *
ASD.
Kai meraup muka. Seperti yang dia duga, self-diagnosis nya amat
tepat sekali. Dia tersandar lemah. Tenaga dirasakan sudah mulai mencapai Level
2 kembali pada peringkat permulaan. Tangannya layu seperti sayur bayam yang
dicelur.
Ah, bukan dia kecewa dengan apa yang berlaku. Tapi dia tidak
sangka, selama ini apa yang dibuat olehnya gagal untuk menyelamatkan diri
sendiri.
Matanya terasa pedih. Aku nak nangis. Serious talk.
Juki yang sedang tegak seperti tiang bendera itu hanya memerhati
dari jauh. Keliru. Kecewa? Mungkin tidak, mungkin ya. Empati, mungkin.
'Begitu berat sekali apa yang kau sedang rasakan sekarang wahai
sahabat. Maaf, aku tidak mampu menolong di saat engkau memerlukan seseorang.
Maaf, kerana selama tiga tahun kita bersahabat, aku masih belum mengenali diri
engkau,' Gumamnya di dalam hati.
Juki menghampiri, perlahan lahan, cuba untuk tidak membuatkan Kai
terkejut. Plastik kuey teow kungfu di jinjit di sebelah kiri dikemaskan. Dia
cuba melukis senyum. Tidak ingin menambahkan gusar di benak sahabatnya. Kai
yang dari tadi tersandar menoleh ke kanan. Juki mempamer senyum manis kearahnya.
"Assalamualaikum sahabat!" jeritnya kecil. Tangan kanan
mengangkat high five ke udara. Dia meletakkan bungkusan plastik biru ke
atas meja, bersebelahan dengan buah-buahan yang masih lagi belum
disentuh.
"Tepi sikit aku nak duduk." Dialihkan kedua-dua kaki Kai
agar sedikit menyerong. Dia mengambil duduk. Matanya memerhati raut wajah
roommate nya itu. Eyebags dan lengkungan hitam di bawah mata jelas mengambil alih
seri wajah. Pandangannya jatuh pada tangan kanan yang disemat dengan
branula.
"1/2 Normal saline D5%. Dextrose 10%." Juki memberitahu
tanpa ditanya. “Dah masuk air 3 beg.” Dia sengih kerang pada Kai yang masih
tunduk. "Kau haus sangat ke beb? Hahahahahahaha...." cuba membuat
lawak, dan dia gelak sendirian. Kai masih diam tanpa kata.
"Kau lapar tak? Aku belikan kuey teow kungfu kegemaran kau.
Walaupun tak sama rasanya berbanding tempat yang kau selalu makan. Ni hah, aku
sebagai kawan sejati kau datang menyelamat..." Juki sengih lagi. Namun
melihatkan keadaan Kai yang masih lagi pahit, senyumnya mati.
"Aku tak lapar." Jawabnya sepatah.
Juki melepaskan keluhan yang besar. Dia menggigit bibir. Cuba
mencari perkataan yang elok untuk disusun. Risau sekiranya apa yang diungkapkan
olehnya mampu mencucuk hati Kai. Ah, fragile sungguh! Topik yang mereka
ulangkaji bersama akhirnya dihadapi sendiri oleh rakannya. Macamana aku nak buat
ni! Dia mengetap bibir.
"Aku okay, jangan risau." Kai senyum segaris. Dia
menoleh ke kiri, mencari - cari sesuatu di atas meja sebelah kiri.
"DASS kau
berapa?" Juki ingin tahu.
Kai pandangnya tepat ke dalam mata. Kemudian dia bangun dari
sandar. Dia menarik sila. Dia kemudian tergelak kecil. "30, 18, 26"
'Tinggi. Betul la extremely
severe' Juki berkira kira di dalam hati.
"Juki, tolong aku jap." Kai pandang pada tangannya yang berselirat
dengan wayar. Juki mengangkat kedua-dua kening menandakan soal.
"Aku nak berwudhu, nak solat."