Followers

Wednesday, 30 January 2019

Kai IV : Fighting inside



                 Pandangan terasa gelap. Dia merasakan kepalanya berdengung. Berat. Bebola matanya bergerak - gerak di bawah kelopak mata. Dahinya berkerut-kerut. Nafasnya makin dalam. Dadanya turun naik dengan laju. Perlahan-lahan kedua-dua matanya berkelip. Cahaya lampu pendarflour yang berada di siling samar-samar menyapa. Pandangannya kabur. Cuba dikelip berkali-kali matanya itu namun masih lagi terasa berbinar.

                 'Aku di mana?' Hati kecilnya berbisik. 

                 Lidahnya terasa pahit. Bibirnya yang kering tidak mampu mengucapkan sepatah kata. Dia cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku. Peristiwa semalam merangkak ke dalam kotak memori. Tangan kanan diangkat ke langit, menghalang gelombang cahaya yang mampu membutakan mata. Dilihat wayar berselirat, branula yang kemas dipasang pada belakang tapak tangan terasa pedih. 

                 'Ahhh, aku berada di hospital rupanya,'

                Dadanya kemudian berombak perlahan. Terasa degup jantungnya makin perlahan, mulai mencapai rentaknya. Nafasnya beralun seperti biasa. Dia makin tenang berbanding tadi.

                Seorang doktor yang bertugas shift malam menghampiri. Mata sepet disebalik bingkai berwarna merah gelap dilarikan pada BHT di tangan, kemudian beralih ke arahnya. Tangannya laju mencatat butiran - butiran yang diingini. 

               "Macamana Encik Khairul?" Tangannya meletakkan BHT diatas meja.

                Kai senyum kelat. Bibirnya terasa merekah. Dehydrated.

               "I tengok you punya tekanan darah berada di bawah paras normal. Tapi mungkin you akan rasa pening-pening lagi" Dia senyum. Mesra.

               Kai menoleh ke kiri. Kelihatan buah epal dan oren berada di dalam plastik biru, masih kemas diatas meja. Suara doktor yang bermain di telinga diabaikan. Semak di kepala makin bertambah. Ada yang datang jenguk aku ke? Siapa? Soalan itu sepi tanpa jawapan.

               Dia mengalihkan pandangan kearah wajah doktor itu. 

               "ABG reading I berapa doc?" nadanya segaris.

               Kelihatan doktor berbangsa cina itu agak terkejut dengan persoalannya. Dia mengambil BHT yang ditinggalkan diatas meja tadi.

               " 8.35 pH, PCO2 6.0 kPa, HCO3 ᷇ 35 mmol/L " Ujarnya secara terperinci. Dia memandang wajah Kai, cuba untuk membaca apa yang berada di difikiran pesakit tersebut.

               Dahi Kai berkerut - kerut. "Ahhh… Uncompensated metabolic alkalosis."

               "You doktor ke?"  soalnya. Mukanya agak sedikit kaget.

               "Belum lagi..." perlahan. Mukanya dirasakan begitu panas. Malu. Mana mungkin seorang yang berada di dalam bidang ini melakukan perkara yang tidak sepatutnya pada diri sendiri? Tercemarlah namanya, nama rakan-rakan yang seantara dengannya.

               "You nak buat mental check ke?"

               Doktor itu mengangguk.

          
               *   *   *

               ASD. 

               Kai meraup muka. Seperti yang dia duga, self-diagnosis nya amat tepat sekali. Dia tersandar lemah. Tenaga dirasakan sudah mulai mencapai Level 2 kembali pada peringkat permulaan. Tangannya layu seperti sayur bayam yang dicelur. 

               Ah, bukan dia kecewa dengan apa yang berlaku. Tapi dia tidak sangka, selama ini apa yang dibuat olehnya gagal untuk menyelamatkan diri sendiri.

               Matanya terasa pedih. Aku nak nangis. Serious talk. 

               Juki yang sedang tegak seperti tiang bendera itu hanya memerhati dari jauh. Keliru. Kecewa? Mungkin tidak, mungkin ya. Empati, mungkin. 

               'Begitu berat sekali apa yang kau sedang rasakan sekarang wahai sahabat. Maaf, aku tidak mampu menolong di saat engkau memerlukan seseorang. Maaf, kerana selama tiga tahun kita bersahabat, aku masih belum mengenali diri engkau,' Gumamnya di dalam hati.

               Juki menghampiri, perlahan lahan, cuba untuk tidak membuatkan Kai terkejut. Plastik kuey teow kungfu di jinjit di sebelah kiri dikemaskan. Dia cuba melukis senyum. Tidak ingin menambahkan gusar di benak sahabatnya. Kai yang dari tadi tersandar menoleh ke kanan. Juki mempamer senyum manis kearahnya. 

               "Assalamualaikum sahabat!" jeritnya kecil. Tangan kanan mengangkat high five ke udara.  Dia meletakkan bungkusan plastik biru ke atas meja, bersebelahan dengan buah-buahan yang masih lagi belum disentuh. 

               "Tepi sikit aku nak duduk." Dialihkan kedua-dua kaki Kai agar sedikit menyerong. Dia mengambil duduk. Matanya memerhati raut wajah roommate nya itu. Eyebags dan lengkungan hitam di bawah mata jelas mengambil alih seri wajah. Pandangannya jatuh pada tangan kanan yang disemat dengan branula

               "1/2 Normal saline D5%. Dextrose 10%." Juki memberitahu tanpa ditanya. “Dah masuk air 3 beg.” Dia sengih kerang pada Kai yang masih tunduk. "Kau haus sangat ke beb? Hahahahahahaha...." cuba membuat lawak, dan dia gelak sendirian. Kai masih diam tanpa kata. 

               "Kau lapar tak? Aku belikan kuey teow kungfu kegemaran kau. Walaupun tak sama rasanya berbanding tempat yang kau selalu makan. Ni hah, aku sebagai kawan sejati kau datang menyelamat..." Juki sengih lagi. Namun melihatkan keadaan Kai yang masih lagi pahit, senyumnya mati.

               "Aku tak lapar." Jawabnya sepatah.

               Juki melepaskan keluhan yang besar. Dia menggigit bibir. Cuba mencari perkataan yang elok untuk disusun. Risau sekiranya apa yang diungkapkan olehnya mampu mencucuk hati Kai. Ah, fragile sungguh! Topik yang mereka ulangkaji bersama akhirnya dihadapi sendiri oleh rakannya. Macamana aku nak buat ni! Dia mengetap bibir. 

               "Aku okay, jangan risau." Kai senyum segaris. Dia menoleh ke kiri, mencari - cari sesuatu di atas meja sebelah kiri.

               "DASS kau berapa?" Juki ingin tahu.

               Kai pandangnya tepat ke dalam mata. Kemudian dia bangun dari sandar. Dia menarik sila. Dia kemudian tergelak kecil. "30, 18, 26" 
   
               'Tinggi. Betul la extremely severe' Juki berkira kira di dalam hati.

              "Juki, tolong aku jap." Kai pandang pada tangannya yang berselirat dengan wayar. Juki mengangkat kedua-dua kening menandakan soal.

               "Aku nak berwudhu, nak solat."



No comments:

Post a Comment